Program CEO Talk@IKP | INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
» BERITA » Program CEO Talk@IKP

Program CEO Talk@IKP

 

21 November-  Institut Kajian Perladangan (IKP) telah menganjurkan Program CEO Talk@IKP di Dewan Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia. Tuan Haji Romzi Ishak, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, FGV Holdings Berhad, yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV Agri Services Sdn Bhd, telah dijemput sebagai penceramah jemputan khas untuk program tersebut. Mengambil kira reputasi cemerlang beliau dalam industri perladangan, Tuan Haji Romzi juga telah dilantik sebagai CEO@IKP sejak tahun 2022. Dalam program ini, beliau telah menyampaikan syarahan bertajuk "Pengurusan Ladang: Sesi Perkongsian".

 

FGV merupakan salah satu pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia dengan anggaran pengeluaran 3 juta tan metrik (MT) setahun, FGV menyumbang 4% daripada pengeluaran MSM global dan 15% daripada pengeluaran MSM Malaysia. FGV merupakan syarikat berasaskan pertanian di Malaysia dan salah satu pemain utama dalam industri perladangan Malaysia yang beroperasi di 9 buah negara. Sehubungan itu, IKP telah menyediakan platform yang membolehkan pemain utama industri perladangan seperti FGV Holdings Berhad, berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pandangan mereka mengenai topik yang berkaitan.

 

Dalam program ini, Tuan Haji Romzi menerangkan mengenai sistem operasi FGV yang menekankan pendekatan yang mampan dan inovatif ke arah pengeluaran hasil tinggi kelapa sawit dan penciptaan produk yang berpotensi di pasaran. Program ini telah dihadiri oleh 80 peserta yang terdiri daripada para pelajar, penyelidik dan pemain dari agensi kerajaan dan swasta. Para peserta terutamanya pelajar prasiswazah dan pasca siswazah UPM turut aktif mengambil bahagian dalam sesi soal jawab dan semua peserta beroleh manfaat dan pemahaman yang mendalam tentang amalan semasa dalam ladang kelapa sawit.

 

  

 

  

 

 

Tarikh Input: 29/12/2023 | Kemaskini: 29/12/2023 | ainzubaidah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1044
+603-9769 4166
SXFJKAn~