Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) Untuk Kelestarian Industri Perladangan | INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
» BERITA » Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) untuk Kelestarian Industri Perladangan

Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) untuk Kelestarian Industri Perladangan

 

TAWAU, 22-23 Januari – Institut Kajian Perladangan (IKP), Institut Penyelidikan Permodalan Nasional Berhad (PNBRI), dan WorldWide Fund for Nature (WWF-Malaysia) telah mengadakan perbincangan kumpulan berfokus (FGD) bersama-sama dengan pekebun-pekebun kecil sawit di daerah Tawau dan Lahad Datu bagi Kajian Projek PALMA-Peluang Kelestarian Industri Perladangan di Malaysia. Sesi perbincangan ini telah diadakan di dua lokasi iaitu di Hotel LA, Tawau dan Hotel De Leon, Lahad Datu. Perbincangan ini telah disertai oleh dua orang wakil PNBRI, enam orang wakil WWF-Malaysia, dan 10 orang wakil pekebun sawit sekitar Tawau dan Lahad Datu. Perbincangan ini bertujuan membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh pekebun kecil sawit khususnya di Sabah dalam mengusahakan ladang masing-masing.

 

Menurut wakil WWF-Malaysia, En. Norbert John, WWF-Malaysia telah menubuhkan 'Sustainable Palm Oil Team' (SPOT) yang berperanan untuk memberi bantuan teknikal dan sebagai perantara di antara Lembaga Sawit Malaysia (MPOB), pihak industri dan pekebun kecil bagi memenuhi kriteria pensijilan 'Roundtable Sustainable Palm Oil' (RSPO). Pensijilan RSPO ini memberi banyak manfaat kepada pekebun kecil terutamanya dalam meningkatkan pendapatan melalui jualan buah sawit pada harga premium, pemantauan pengurusan bagi meningkatkan hasil pengeluaran buah tandan segar dan pelbagai insentif lain bagi memastikan piawaian minyak kelapa sawit keluaran negara sentiasa dipatuhi dan kelestarian industri sawit di Malaysia dapat diteruskan. Inisiatif yang dilaksanakan oleh WWF-Malaysia juga merupakan komitmen bagi memastikan imej industri sawit negara sentiasa positif dengan mengambilkira pengurangan impak penanaman sawit terhadap alam sekitar dan komuniti setempat.

 

Bagi pihak pekebun kecil, antara isu dan cabaran yang dihadapi ialah peningkatan kos pengurusan ladang iaitu melibatkan peningkatan harga input pertanian seperti baja dan racun, kos pekerja buruh dan kos benih yang agak mahal. Menurut wakil pekebun kecil, En. Hamka Kasma, harga baja dan racun meningkat sebanyak tiga kali ganda manakala harga jualan buah sawit di pasaran juga tidak menentu dan ini menjejaskan pendapatan bulanan pekebun. Kajian Projek PALMA ini yang diketuai oleh Pengarah IKP, Prof. Dr. Shaufique Fahmi Ahmad Sidique sedang dijalankan di seluruh Malaysia. Hasil daripada program perbincangan kumpulan berfokus (FGD) ini diharap dapat memberi input ke peringkat kementerian berkenaan isu pekebun kecil serta cadangan ke arah kelestarian dan peningkatan produktiviti sawit.

 

  

 

Tarikh Input: 31/01/2024 | Kemaskini: 31/01/2024 | ainzubaidah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1044
+603-9769 4166
SXFKCAH~